Monday 23 November 2009

Pasukan Bantuan Sukarela 10 (De' Voluntary Aid Detachment 10)


Pasukan Bantuan Sukarela 10 (PBS10), adalah pasukan yang pertama yang ditubuhkan di daerah Klang oleh Bulan Sabit Merah Malaysia, Cabang Klang. PBS 10 ini telah ditubuhkan pada tahun 1951 oleh satu kumpulan sukarelawan dan pada tahun 1959, pasukan ini telah dipimpin oleh Puan Ramanathan, diikuti Dr. Thiagarajan, mendiang Tuan. V. Balakrishnan, Tuan P.K. Samy, Tuan. Zulkifli, En. Jayakumar, Puan Puneswary dan ramai lagi. Sejak PBS 10 ditubuhkan dan sehingga kini, ramai Komandan dan Penolong Komandan telah memberi banyak tunjuk ajar kepada ahli-ahli mereka dari aspek pengetahuan dan pengalaman mereka.
Bermula pada tahun 2000, PBS 10 telah pesat membangun dan ahli-ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar pra-Universiti. Pasukan ini telah menjalankan pelbagai program meriah seperti Majlis Perayaan Ponggal, Kem Cergas PBS 10, Majlis Suai Kenal, Majlis Sambutan Hari Ibu, Program Khidmat Masyarakat, oneOTeam race, Kempen Derma Darah, Organ & Pemeriksaan Kesihatan dan baru-baru ini Majlis Sambutan Ulangtahun ke-50 PBS 10.
Pasukan Bantuan Sukarela 10 pernah menghantar ahli-ahlinya ke tugas-tugas awam/pertolongan cemas/bencana di peringkat cabang dan cawangan. Antara tugas-tugas utama yang pernah diikuti ahli-ahli PBS 10 ialah Thaipusam di Batu Caves, Larian anjuran Cargill, MPK, Hong Leong, Utusan dan Tylon, Hari Keluarga Syarikat Kilang, Sekolah dan Pertubuhan NGO. Selain itu SUKMA, Paralimpik, Sukom 98 dan banyak lagi. Bagi tugas bencana ialah Tragedi Highland Tower, Hulu Kelang, Tragedi Kebakaran di Kg. Keramat, Kuala Lumpur, Letupan Kilang Mercun Bright Spark di Sungai Buloh, Banjir Kilat di Taman Sri Muda, Shah Alam, Kebakaran Hutan di Lebuhraya Elite, KM 27 Kuala Langat, Tragedi Tsunami (Acheh - Bantuan Makanan dan Perubatan MALCON), Tragedi Tanah Runtuh di Presint 7, Putrajaya, Tragedi Banglo Ranap di Bukit Antarabangsa - Hulu Kelang, Tugas Pembungkusan Bantuan Bencana Myanmar Cyclone & Gempa Bumi Shichuan, China.
Pasukan Bantuan Sukarela 10 tidak pernah mengabaikan tugas-tugas yang telah diberikan kepada mereka. Ahli-ahli PBS 10 selalu bersiap-sedia menerima arahan daripada pegawai atasan mereka dan melaksanakan tugas dengan penuh komited dan tanggungjawab.
Pasukan Bantuan Sukarela 10 juga telah menyertai banyak kursus, latihan dan aktiviti yang telah dianjurkan oleh pasukan PBS lain, cabang dan cawangan. Ahli-ahli PBS 10 juga dikenali ramai kerana terlibat dalam pelbagai program berunsurkan kebajikan dan sosial di sekitar bandar Klang.
Pasukan Bantuan Sukarela 10 digeruni dan dihormati oleh pasukan-pasukan lain di Bulan Sabit Merah Malaysia, Cabang Klang kerana masih lagi bertahan sehingga kini sejak tahun 1951.